Powered By Blogger

Wednesday 18 April 2012

Ujian Dari Allah - Ada Hikmah Di Sebaliknya

Assalamualaikum.


Dah agak lama tak update entry di blog ni. Bukan tak ada cerita untuk dikongsi tapi ntahlah perasaan kemalasan pulak melanda, apa boleh buat. Tengoklah kalau ada kerajinan akan diupdate kisah jalan-jalan kami yang tak pernah berkesudahan kat sabah ni :D

Perit rasanya nak buat entry kali ni. Pada yang belum tahu, kami baru saja kehilangan insan yang sangat dikasihi pada 11 Mac yang lalu. Abah yang tersayang telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Terima kasih yang tak terhingga pada sedara mara dan rakan taulan yang sudi menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah, semoga Allah swt memberi sebaik-baik balasan pada anda semua.

Dah lebih sebulan arwah pergi, tapi ingatan kami pada arwah sedikit pun tak pernah padam dan semoga kami akan terus mengingatinya, sebagai anak tentu tak mahu terlepas dari mendoakan kesejahteraannya selagi hayat kami masih ada. Walau perasaan sedih, terkilan, hiba bercampur baur tapi kami redha dengan ketentuan Allah. Arwah abah pergi agak mengejut bagi kami, tak siapa sangka demam dan sakit perut yang dianggap biasa-biasa rupanya petanda abah menderita sakit yang lain, yang kami sendiri pun tak pernah tahu wujudnya penyakit sebegitu sebelum ni. Untuk makluman arwah meninggal akibat Rupture of Abdominal Aortic Aneurysm – saluran darah utama  membengkak dan pecah yang mengakibatkan pendarahan di dalam abdomen.


Kenangan terakhir bersama arwah abah


Arwah pergi pada usia 64 tahun. Sebelum ni arwah sangat sihat pada pandangan mata kami. Memang tak sangka arwah akan pergi secepat ni. Tapi kuasa Allah yang Maha Besar tak mampu kita melawan. Andai sudah tertulis begitu, maka begitulah jadinya dan hendaklah kita redha. Memang kita akan bersedih dan meratapi kehilangannya, tapi rawatlah hati yang berduka itu dengan solat, doa dan bacaan Al-Quran. Yang pasti setiap ujian yang diberikan akan lebih mendekatkan kita dengan Dia, itulah hikmah di sebaliknya.

Semoga Allah swt terus memberikan kekuatan dan ketabahan kepada kami sekeluarga untuk meneruskan hidup tanpanya. InsyaAllah sebagai anak kami akan selalu mendoakan keampunan dan kesejahteraan untuk rohnya di alam sana. Yang dah pergi, redhakanlah dia pergi dan yang hidup harus teruskan kehidupan. Tapi selalulah beringat, mati itu pasti. Yang penting persiapkan diri dengan amal dan taqwa sebagai bekalan di sana nanti.

Abah, abah telah mendahului kami…dan masa kami pasti akan tiba jua nanti. Semoga Allah swt sentiasa melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh abah serta ditempatkan di kalangan mukmin yang beriman dan bertaqwa di sisi-Nya. Amin.